Salam sejahtera…

Ahlan wasahlan wamarhaban

Jumaat, 22 Mei 2015

Budi Bahasa Tunjang Bangsa

Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di serata dunia. 


Budi bahasa budaya kita. Inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa Melayu tanpa mengambil kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita dikagumi oleh masyarakat di serata dunia kerana perpaduan jitu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, tanpa melihat kepada perbezaan warna kulit atau bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi. Kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan santun. Pantun Melayu ada mengungkapkan pepatah yang berbunyi : 
     
     Yang kurik itu kundi, 
     Yang merah itu saga; 
     Yang baik itu budi, 
     Yang indah itu bahasa.



 


Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa kesungguhan nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa.  Antara lainnya berbunyi: 
     
     Kalau cakap tidak cermat, 
     Tentu kita tidak selamat, 
     Kalau cakap tidak cermat, 
     Kalau kelakuan tidak hormat, 
     Tentu hidup tidak selamat,
     Dunia yang tersurat,
     Akhirat yang tersirat.


Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu: 
     
     Tiada kata secantik bahasa, 
     Untuk ku puji adinda, 
     Tiada gambar secantik lukisan, 
     Hendak ku tunjuk perasaan. 
     
     




Negara kita telah meletakkan budi pekerti sebagai batu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, daripada Rukun Negara sehinggalah kepada Wawasan 2020. Budi ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji. Manusia akan dipandang mulia jika berbudi. Bangsa yang beradab dan umat yang bertamadun merupakan bangsa dan umat yang berbudi bahasa. Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang murni akan terus kekal menjadi kenang-kenangan suci yang abadi. Budi bahasa menjadi tunjang utama kepada bangsa Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Budi bahasa budaya bangsa kita, Bangsa Malaysia. Buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, berperibadi mulia, kaya dengan sopan santun dan budi bahasa.






                                                             
                                                                  
RUKUN NEGARA
BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita
untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan
seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik;
mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang
akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi
kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan
sains dan teknologi moden; MAKA KAMI, rakyat Malaysia,
berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan
atas prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN




FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
FPK
Pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha berterusan ke arah lebih
memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu
untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.







DOKUMEN STANDARD

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

(KSSR)

BAHASA MALAYSIA               

TAHUN DUA 


PENDAHULUAN
Dunia pendidikan mengalami perkembangan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi. Perkembangan ini juga menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum.

Selaras dengan perubahan tersebut, kurikulum Bahasa Malaysia turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya hingga terhasil Standard Kurikulum Bahasa Malaysia. Standard Kurikulum yang diketengahkan ini mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Standard Kurikulum ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai murni yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah kebangsaan.

Penggubalan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia berpaksikan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Standard ini menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah. Standard ini turut menitikberatkan penggabungjalinan kemahiran bahasa, penyerapan ilmu dan nilai murni. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia boleh dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.

Pada asasnya, pembinaan kerangka standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Standard ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur bagi mencungkil potensi murid untuk meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Seterusnya, membolehkan murid memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Kebangsaan mengambil kira pendekatan pengajaran bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama. Kepelbagaian pengajaran dan pembelajaran, minat dan kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid turut diberi penekanan. Selain itu, aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah turut dijadikan landasan bagi membina keyakinan diri, mengetengahkan bakat, memupuk sifat kepemimpinan, dan ketokohan murid dalam pelbagai bidang. Aktiviti kokurikulum juga berupaya memantapkan penguasaan berbahasa murid serta menyokong pelaksanaan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia.


TUNJANG KURIKULUM STANDARD
SEKOLAH RENDAH

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Literasi Sains dan Teknologi; Fizikal dan Estetika; dan Keterampilan Diri. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis dan kreatif serta berinovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan seperti yang terdapat dalam Rajah 1 di bawah:




FOKUS

Pada akhir pembelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah, murid dapat memperkaya kosa kata, mempertingkatkan pemahaman berbahasa dan menguasai bahasa serta berkomunikasi secara berkesan bagi menyampaikan pendapat, idea dan maklumat dalam pelbagai situasi pembelajaran, hubungan sosial dan kehidupan harian.


SUSUNAN KANDUNGAN STANDARD KURIKULUM BAHASA MALAYSIA

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa yang disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.

Standard ini digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid sekolah kebangsaan. Standard ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran serta nilai murni yang perlu dikuasai oleh murid.
            
Standard Kandungan 
Pernyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.

Standard Pembelajaran
Pernyataan tentang penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.

Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.

Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberikan pada penggunaan tatabahasa yang betul.

Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.
a. Sebutan
Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul. Sebutan bahasa Malaysia yang diajarkan di sekolah hendaklah menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.
b. Intonasi
Intonasi ayat bahasa Melayu yang betul hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
i. ayat penyata
ii. ayat tanya
iii. ayat perintah
iv. ayat seruan
v. ayat terbalik atau songsang
vi. ayat aktif
vii. ayat pasif

Kosa kata
Kosa kata terdiri daripada kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkat dan diperkembangkan agar murid dapat mengungkapkan maklumat dan buah fikiran selaras dengan penambahan ilmu dalam mata-mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah rendah.

Peribahasa
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata-kata hikmat perlu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


Pengisian Kurikulum
Elemen dalam pengisian kurikulum ialah ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah. Penerangan ringkas bagi setiap elemen seperti yang berikut:


Ilmu
Ilmu merangkumi pelbagai bidang ilmu dan disiplin, contohnya ilmu dalam bidang sains, dan geografi dapat digunakan untuk memperkembangkan ilmu bahasa dan kemahiran bahasa. Ilmu lain yang berkaitan dengan hal-hal semasa juga boleh dipertimbangkan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran.


Nilai Murni
Penyerapan nilai murni dalam kurikulum Bahasa Malaysia bertujuan melahirkan insan yang berketerampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan murni dapat membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berkeperibadian luhur. Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni dalam masyarakat Malaysia harus dipupuk secara langsung atau tidak langsung selaras dengan nilai-nilai sejagat.


Kewarganegaraan
Penyerapan unsur patriotisme dan kewarganegaraan dalam pendidikan bahasa Malaysia mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan negara. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang mempunyai jati diri, cinta akan bahasa dan bangsa serta meningkatkan komitmen individu terhadap negara.


Peraturan Sosiobudaya
Peraturan sosiobudaya dalam kurikulum Bahasa Malaysia merangkumi kesantunan bahasa, laras bahasa dan peribahasa yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Peraturan sosiobudaya ini mencerminkan falsafah dan keperibadian masyarakat Malaysia.

Kemahiran Bernilai Tambah
Kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan di dalam bilik darjah dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian murid. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah Kemahiran Berfikir, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemahiran Belajar Cara Belajar, Kajian Masa Depan, Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Konstruktivisme, Pembelajaran Kontekstual, dan Kreativiti dan Inovasi, dan Keusahawanan. Penerangan ringkas tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan seperti yang berikut:


Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui pelbagai aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah, atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa hadapan.


Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti mengaplikasikan perisian, menghantar dan menerima e-mel, mengakses, memproses, menyebar dan berkongsi maklumat serta berinteraksi sosial melalui Internet untuk meluaskan penerokaan ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.


Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan berkeupayaan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.


Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Hal ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta menangani perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum.


Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai dapat mengembangkan potensi kecerdasan, minat dan kecenderungan murid kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza. Kecerdasan pelbagai merangkumi kecerdasan verbal linguistik, logik matematik, muzik, kinestetik, visual ruang, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.


Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang berkeupayaan untuk membina pemahaman dan pengetahuan baharu mereka sendiri berdasarkan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok belajar sepanjang hayat mereka.


Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baharu secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dalam kehidupan mereka.


Kreativiti dan Inovasi
Kreativiti merujuk kepada kebolehan atau kemampuan individu untuk mencipta, menyelesaikan masalah, menggunakan daya imaginasi, idea kreatif untuk menghasilkan idea yang tulen, asli dan baharu bagi menghasilkan sesuatu yang objektif. Inovasi pula merujuk kepada proses menjana idea dan mengaplikasikan idea kreatif dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovatif saling berkait rapat bagi menghasilkan modal insan yang serba boleh dan berketerampilan. Daya kreativiti dan inovasi murid perlu dibangunkan ke tahap yang optimum supaya mereka berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan yang berkualiti dan seterusnya menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan warga negara Malaysia pada masa hadapan.


Keusahawanan
Penyerapan elemen keusahawanan dalam kurikulum standard sekolah rendah bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penyerapan elemen ini bukan sahaja merupakan pendekatan membudayakan keusahawanan, malah melibatkan proses pembentukan sikap yang perlu dimiliki oleh usahawan seperti pemikiran keusahawanan, kemahiran pengurusan perniagaan, aplikasi vokasional dan teknologi serta amalan nilai moral dan etika keusahawanan.


Strategi Pengajaran dan Pembelajaran
Pendekatan Berpusatkan Murid
Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia haruslah berpusatkan murid bagi membolehkan mereka berinteraksi dan menguasai kemahiran belajar melalui pengalaman sendiri. Oleh itu, murid dapat membina keyakinan berbahasa.


Kepelbagaian Teknik
Proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah menggalakkan penggunaan pelbagai kaedah mengajar. Guru boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar, serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berkomunikasi dan berinteraksi serta berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.


Kepelbagaian Sumber Bahan
Penggunaan pusat sumber dan komputer amatlah digalakkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Bahan-bahan sumber seperti akhbar, majalah, buku rujukan, kamus, Internet, serta bahan sastera dan bahan berunsur ilmu hendaklah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran serta untuk bacaan ekstensif.


Penggunaan Sistem Bahasa
Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah menekankan penggunaan sistem bahasa yang tepat mengikut kemampuan murid. Bagi mencapai tujuan tersebut, guru perlu merancang dan memilih sistem bahasa yang hendak diajarkan berserta contoh penggunaannya dalam pelbagai konteks dan kegiatan bahasa yang bermakna sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.


Bacaan Luas
Bacaan luas memberikan peluang kepada murid menimba pengetahuan dan membentuk sahsiah yang baik bagi meningkatkan gaya berfikir dan minat ingin terus membaca. Bacaan luas boleh dijalankan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan bahan-bahan ilmiah dan sastera yang dipaparkan secara kreatif.


Penekanan Konsep 5P
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian. Hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah seperti yang berikut:
Penggabungjalinan
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam standard kandungan atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.
Penyerapan
Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, unsur ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin daripada mata-mata pelajaran lain.
Penilaian
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Penilaian perlulah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan segala kelemahan dapat dikenal pasti dan jenis tindakan susulan dapat diambil terhadap seseorang murid sama ada berbentuk pemulihan atau pengayaan.
Pengayaan
Program pengayaan disediakan untuk memantapkan kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat murid. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.
Pemulihan
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.


Pengajaran dan Pembelajaran Bertema
Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia diajar berdasarkan tema. Melalui pengajaran dan pembelajaran bertema kemahiran bahasa, pembelajaran tatabahasa dan pengembangan kosa kata dapat disepadukan dan dikukuhkan. Di samping itu, ilmu daripada mata pelajaran dan disiplin lain lebih mudah diserapkan. Bagi tujuan ini, perancangan dan penentuan tema pengajaran meliputi pelbagai bidang ilmu, hal persendirian dan isu kemasyarakatan, menghargai warisan, mencungkil daya kreativiti dan inovasi dalam diri murid serta isu-isu semasa. Cakupan tema yang ditekankan adalah seperti yang berikut:
Kekeluargaan
Tema kekeluargaan merangkumi hubungan sesuatu keluarga yang melibatkan keluarga asas dan keluarga kembangan. Tema ini diajarkan kepada murid sekolah rendah agar menghargai dan menghormati setiap ahli keluarga.
Kemasyarakatan
Tema ini merujuk tanggungjawab individu dan kumpulan dalam kalangan pelbagai bangsa untuk mewujudkan keharmonian dan kepentingan hidup bersama. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, hormat menghormati, bekerjasama dan bertanggungjawab.
Kesihatan dan Kebersihan
Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar mendapat pendedahan awal berkaitan penjagaan kebersihan dan kesihatan, dan amalan gaya hidup sihat.
Keselamatan
Tema keselamatan merujuk keupayaan murid melindungi diri daripada bahaya ketika berada di pelbagai persekitaran. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid supaya dapat memberi kesedaran agar mengutamakan keselamatan.
Perpaduan
Tema perpaduan merujuk kepentingan hubungan erat yang terbentuk hasil daripada toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.
Kebudayaan, Kesenian dan Estetika
Tema kebudayaan, kesenian dan estetika merangkumi
elemen-elemen budaya yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi adat dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas pembentukan jati diri warga Malaysia.
Jati diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan
Tema jati diri, patriotisme dan kewarganegaraan merujuk keupayaan murid menzahirkan keperibadian insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani, yang mempunyai semangat kekitaan dan setia kepada negara.
Sains, Teknologi dan Inovasi
Tema sains, teknologi dan inovasi merujuk ilmu pengetahuan yang teratur atau sistematik yang boleh diuji, dibuktikan kebenarannya dan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar dapat melahirkan insan yang berupaya menjana idea untuk menghasilkan sesuatu yang berinovasi.
Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Tema alam sekitar dan teknologi hijau merujuk keupayaan murid menjaga dan mengurus alam sekitar untuk kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Tema ini sesuai diajarkan agar murid cinta dan prihatin dan bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar dan teknologi hijau.
Pertanian
Tema pertanian mendedahkan murid perihal asas-asas pertanian secara tradisional dan moden. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian dan bioteknologi pertanian dalam kehidupan.
Ekonomi
Tema ekonomi mendedahkan murid perihal bidang peniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pengurusan perdagangan. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang ekonomi dan membudayakan sikap keusahawanan dalam kehidupan.


STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i.  mendengar, memahami, menyebut frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul dan tepat;


ii. mendengar, memahami dan memberikan respons secara lisan atau gerak laku terhadap arahan berdasarkan ayat perintah jenis silaan dan ayat ayat perintah jenis larangan dengan betul;


iii. mendengar, memahami dan memberikan respons secara lisan atau gerak laku berdasarkan pelbagai soalan bercapah dan pesanan mengikut urutan yang betul;


iv. bertutur, berbual dan menyatakan permintaan menggunakan ayat yang mengandungi kata panggilan bagi keluarga bukan dalam kalangan keluarga asas dan kata ganti nama diri ketiga dengan betul dalam situasi tidak formal secara bertatasusila;


v. bercerita tentang sesuatu perkara dan menceritakan perkara yang didengar dengan tepat menggunakan ayat majmuk dengan sebutan yang jelas
dan intonasi yang betul;


vi. berbicara untuk mendapat dan menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat menggunakan ayat
yang mengandungi rangkai kata yang sesuai secara bertatasusila; dan


vii. berbincang dan mengemukakan pandangan dan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila.


STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Objektif Kemahiran Membaca
Objektif Kemahiran Membaca adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i. membaca dan memahami perkataan, frasa dan ayat majmuk yang mengandungi perkataan dua atau lebih suku kata, diftong, vokal berganding , digraf, dan konsonan bergabung dengan sebutan yang betul;


ii. membaca pelbagai jenis ayat dengan lancar, berjeda, sebutan yang jelas, mengikut tanda baca dan intonasi yang betul;


iii. membaca dan memahami maklumat tersurat daripada bahan multimedia untuk mengenal pasti idea utama dan idea sampingan serta menyatakan urutan dengan betul;


iv. membaca, memahami dan menaakul bahan grafik dan bukan grafik bertujuan menyatakan maksud untuk memindahkan maklumat dengan betul;dan


v. membaca dan memahami pelbagai bahan kreatif untuk menambah ilmu pengetahuan, memperkaya kosa kata serta meningkatkan kelancaran bacaan.


STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MENULIS

Objektif Kemahiran Menulis
Objektif Kemahiran Menulis adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i. menulis secara mekanis pelbagai perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi perkataan dua atau lebih suku kata, diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan bergabung dengan betul serta tulisan yang kemas dan cantik;


ii. menulis secara mekanis abjad dan perkataan dalam bentuk tulisan berangkai dengan betul dan kemas;


iii. membina dan menulis, perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi perkataan diftong, vokal berganding , digraf dan konsonan bergabung dengan betul serta tulisan yang kemas dan cantik;


iv. membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk berdasarkan soalan dan bahan grafik dengan betul dan tulisan yang kemas;


v. menuliskan imlak perkataan dan frasa yang mengandungi perkataan dua atau lebih suku kata, diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan bergabung dengan betul dan tepat;


vi. mencatat maklumat yang betul untuk membanding beza dan menghubung kait maklumat daripada pelbagai sumber;


vii. menulis untuk menyampaikan maklumat yang berbentuk puisi menggunakan perkataan, diksi, frasa dan ayat serta menegaskan kesantunan berbahasa.


viii. menghasilkan penulisan berbentuk naratif dan bukan naratif secara separa terkawal dengan betul; dan


ix. mengedit dan memurnikan perkataan dalam ayat daripada aspek ejaan dan tanda baca.


STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN
ASPEK SENI BAHASA


Objektif Aspek Seni Bahasa
Objektif Aspek Seni Bahasa adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i. menyebut dan memahami perkataan dalam seni kata lagu melalui nyanyian dan gerak laku secara didik hibur;


ii. mengujarkan ayat dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan bahasa badan yang kreatif melalui penceritaan secara didik hibur;


iii. mengujarkan dialog dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul tentang sesuatu perkara menggunakan bahasa badan dengan kreatif melalui lakonan secara didik hibur;dan


iv. melafazkan pantun empat kerat menggunakan bahasa yang indah dengan intonasi yang betul dan memahami maksud pantun secara didik hibur.


STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN
ASPEK TATABAHASA


Objektif Aspek Tatabahasa
Objektif Aspek Tatabahasa adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i. memahami dan menggunakan kata nama am hidup manusia, kata nama khas hidup manusia dan kata ganti nama diri dengan betul mengikut konteks;


ii. memahami dan menggunakan kata kerja tunggal dan kata adjektif pancaindera dengan betul mengikut konteks;


iii. memahami dan menggunakan kata hubung dan kata tanya dengan betul mengikut konteks;


iv. memahami dan menggunakan imbuhan awalan, akhiran dan apitan dengan betul mengikut konteks;


v. memahami dan membina ayat dasar dengan betul mengikut konteks; dan


vi. memahami dan membina ayat penyata menggunakan tanda baca yang betul mengikut konteks.


vii. memahami dan menggunakan kata ganda penuh yang betul mengikut konteks.

Bahasa Jiwa Bangsa

Khamis, 5 April 2012

PANTUN : Bahasa Jiwa Bangsa 2

Riuh nelayan memunggah pelata,
Beli seraga dibawa pulang;
Bahasa kebangsaan jiwa kita,
Jati diri warga gampak cemerlang.


Busut di hutan sarang kelekatu,
Angsana tumbang terkejut tempua;
Berbahasa kebangsaan saban waktu,
Makin berkembang ke serata benua.


Dari Benta ke Kota Gelanggi,
Singgah di Jengka membeli toman;
Bahasa kita martabatnya tinggi,
Lingua franca zaman-berzaman.


Sepohon celagi lanjut usia,
Tempat istirahat ayam jantan;
Tidak rugi berbahasa Malaysia,
Warga erat sejahtera watan.

Selasa, 3 April 2012

PANTUN : Bahasa Jiwa Bangsa 1

Ikat jerami muat ke kandar, 
Selepas makan mandi di telaga; 
Ucap difahami wasangka terhindar, 
Bahasa kebangsaan penyatu warga.  


Batang halban dibawa ke huma, 
Hendak dirikan sebuah taman; 
Bahasa kebangsaan milik bersama, 
Kita ungkapkan sepanjang zaman. 


Terbang tempua ke semak berduri, 
Singgah sekali di pohon rumbia; 
Bahasa kita lambang jati diri, 
Tidak rugi berbahasa Malaysia.  


Berbanjar cemara di tanah rata, 
Tempat teduhan sekumpulan murai; 
Segar dan mesra bahasa kita, 
Anugerah warisan usah terburai.

Ahad, 1 April 2012

PANTUN : Budi

Dari Daik pulang ke Daik,
Sehari-hari berkebun pisang;
Budi baik dibalas baik,
Dalam hati dikenang orang.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang dua;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang jua.

Tenang-tenang air laut,
Sampan kolek mudek ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyahut,
Budi baik tetap disanjung.

Burung Serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati,
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tunjang bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah negara.